Ada janji membawa bahagia, tidak kurang pula yang merana. Dari itu jangan berjanji. Kalau hanya meracun hati. Lawak lawak juga, tetapi sebenarnya janji adalah suatu perkara serius yang setengah orang suka ambil mudah.
Barangkali ia dipermudahkan kerana sudah terlalu biasa bermain di bibir atau selalu sangat didengar. Ia nampaknya seperti perkara biasa sahaja dalam kehidupan. Bagi sesetengah orang, menabur janji semudah menyebut alif, ba, ta atau abc.
Kita ketawa sahaja apabila kita diingatkan supaya jangan buat ‘janji Melayu’, walaupun maknanya tidak dapat dihuraikan dengan tepat. Yang boleh difahamkan ia selalu dikaitkan dengan waktu; janji tiba jam 10 pagi, tetapi sampai sejam lewat.
Tetapi yang serius ialah apabila janji dimungkiri. Kata orang alim, Islam menganggap janji itu sebagai suatu perkara yang besar dan menunaikan janji itu adalah tanggungjawab setiap orang yang membuat janji.
Adalah menjadi satu kesalahan dan berdosa, jika janji dimungkiri, dan yang menggerunkan, ialah apabila janji itu dikaitkan dengan ciri-ciri orang munafik. Cuba rujuk ayat 75-77 Surah At-Taubah.
Ia berbunyi, yang bermaksud: ‘Dan di antara mereka ada yang membuat janji dengan ALLAH dengan berkata: Sesungguhnya jika ALLAH memberi kepada kami dari limpah kurniaNya, tentu kami akan bersedekah dan tentu kami akan menjadi daripada orang-orang yang soleh.
Kemudian setelah ALLAH memberi kepada mereka dari limpah kurniaNya, mereka bakhil dengan pemberian ALLAH itu, serta mereka membelakangkan janjinya dan sememangnya mereka orang-orang yang sentiasa membelakangkan (kebajikan).
Akibatnya ALLAH menimbulkan perasaan munafik dalam hati mereka (berkekalan) hingga ke masa mereka menemui ALLAH, kerana mereka telah memungkiri apa yang mereka janjikan kepada ALLAH dan juga kerana mereka sentiasa berdusta.
Menurut ustaz. ALLAH dan RasulNya juga turut berjanji. Tetapi janji ALLAH dan RasulNya amat jauh bezanya dengan janji insan. Manusia sering mungkir janji, malah seolah-olah menjadikannya sebagai tabiat sedangkan janji ALLAH dan RasulNya sentiasa benar dan tepat.
Rasulullah SAW bersabda (yang bermaksud): “Jagalah enam perkara, nescaya aku jamin bagi kamu syurga; jujurlah bila berbicara, tepatilah jika berjanji, tunaikanlah apabila kamu diberi amanah, jagalah kemaluan, tundukkanlah pandangan dan tahanlah tangan-tangan kalian (dari sesuatu yang dilarang).”
No comments:
Post a Comment